KUALA LUMPUR: Parti Gerakan mencadangkan agar individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 diwajibkan menjalani khidmat masyarakat di tempat seperti Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Presidennya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata ia adalah antara alternatif hukuman sebelum tindakan menaikkan kadar kompaun melalui pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dilaksanakan.

"Melalui kaedah ini, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menambah baik kekurangan tenaga kerja di PPV dan boleh menghukum orang yang melanggar SOP tanpa mengira kelas.

"Tidak kira sama ada anda golongan bawahan mahupun CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sebuah syarikat, selagi anda melanggar SOP, anda mesti melakukan khidmat masyarakat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, hari ini.

Sehubungan itu, Lau berkata Gerakan tidak bersetuju dengan kenaikan kadar kompaun seperti yang akan dilaksanakan oleh KKM melalui pindaan kepada Akta 342 kerana membebankan individu dan peniaga.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Gerakan menyokong penuh tindakan kerajaan melaksanakan Pelaksanaan Umur Kelayakan Pengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) pada 1 Jan depan.

Oleh itu, katanya Gerakan melalui Pemuda parti akan memberi khidmat pendidikan kepada golongan belia sebagai langkah persediaan untuk mengundi antaranya berkaitan pemeriksaan kad pengenalan, kertas undi dan lokasi undi.

-- BERNAMA